Powered By Blogger

Khamis, 2 Mac 2017

Syair Bidasari Tingkatan 4


Maksud
Syair ini menceritakan kisah raja negeri Kembayat. Baginda terkenal sebagai raja yang gagah, bijaksana dan tampan. Sikapnya yang adil pula telah menyebabkan negeri itu penuh dengan perantau yang datang untuk berguru dan para pedagang. Sepanjang pemerintahannya, baginda tidak pernah ditimpa kesusahan.
Setelah berkahwin, permaisuri baginda pun hamil dan mereka bakal menimang cahaya mata kelak. Malangnya, burung geroda telah menyerang dan mengganggu ketenteraman kerajaan baginda. Serangan burung itu amat ganas sehingga merosakkan negeri Kembayat. Rakyat lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri masing-masing. Oleh yang demikian, baginda memanggil semua menteri untuk membincangkan langkah mengatasi masalah tersebut.
Tema
Syair ini bertemakan cabaran yang terpaksa ditempuh oleh seorang raja semasa memerintah negara. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh raja negeri Kembayat adalah menangani serangan seekor burung geroda yang besar dan ganas.
Persoalan
1. Keistimewaan dan kehebatan seseorang raja
Raja negeri Kembayat gagah, tampan, bijaksana dan adil. Hal yang demikian menyebabkan negeri yang diperintahnya aman sentosa sehingga menjadi tumpuan para pedagang dan perantau.
2. Malang tidak berbau
Negeri Kembayat yang aman sentosa dan selamat tiba-tiba ditimpa bencana. Seekor geroda yang besar dan ganas tiba-tiba menyerang negeri itu sehingga menimbulkan huru-hara dan kerosakan. Penduduk yang ketakutan segera melarikan diri.

Bentuk syair
1. Syair ini mempunyai lapan rangkap.
2. Semua baris merupakan isi atau maksud.
3. Bilangan suku kata bagi setiap baris adalah antara 9 hingga 13 suku kata.
Contoh:
(a) En tah pa da e sok dan lu sa [rangkap3, baris 4]
4. Bilangan perkataan bagi setiap baris adalah antara 3 hingga 5 patah perkataan.
Contoh:
(a) Seisi negeri gundah-gulana [rangkap 7, baris 3] – 3 patah perkataan
(b) Asalnya baginda raja yang bahari [rangkap 2, baris 3] – 5 patah perkataan
5. Bentuk syair ini terikat.

Gaya bahasa
1. Perkataan Arab
Contoh: riwayat, fakir, hikayat, halifah
2. Perkataan Melayu klasik
Contoh: bahari, bahana
3. Bahasa istana
Contoh: baginda, puteri, permaisuri
4. Kata ganda
Contoh: bersuka-sukaan, gundah-gulana, mana-mana
5. Simile
Contoh: Mendengar gempar seperti perang

Unsur-unsur bunyi
1. Asonansi
Contoh:
Datanglah menyambar suaranya bahana (pengulangan vokal a)
2. Aliterasi
Contoh:
Unggas gurda sangat perkasa (pengulangan konsonan g)
3. Rima akhirnya a/a/a/a.

Nilai
1. Keadilan
2. Kasih sayang
3. Kerjasama

Pengajaran
1. Kita mestilah bersikap adil dan saksama dalam mentadbir sesuatu organisasi.
2. Kita mestilah menyayangi ahli keluarga kita.
3. Kita mestilah bertindak cepat dan bijak apabila menghadapi masalah supaya berjaya mengatasi masalah itu dengan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan